Dr.mahfodzGelaran Tuan Guru atau ada juga menyebutnya dengan Tok Guru adalah satu gelaran penghormatan kepada seseorang oleh masyarakat disebabkan ketinggian ilmu mereka dalam bidang ilmu-ilmu Islam di samping sumbangan mereka yang besar dalam bidang Pendidikan Islam yang melahirkan ramai anak-anak murid. Penghormatan tersebut merupakan satu pengiktirafan oleh masyarakat sama ada masyarakat tempatan di sekeliling seseorang Tuan Guru atau masyarakat nasional disebabkan kemasyhuran sumbangannya yang lebih luas.


Sememangnya tiada satu piawaian yang sistematik yang digunakan oleh masyarakat untuk mengangkat seseorang itu dengan gelaran penghormatan Tuan Guru melainkan hanya dengan melihat ketinggian ilmu yang dimiliki oleh seseorang dan sumbangan beliau yang bersungguh-sungguh untuk mengajar masyarakat sama ada dengan mendirikan sesebuah pusat pengajian ataupun mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Meskipun tanpa piawaian yang sistematik, masyarakat secara kolektif dan organik telah memberi gelaran Tuan Guru kepada tokoh-tokoh tertentu.

Dalam sejarah pengembangan ilmu-ilmu Islam masa kini telah ramai tokoh-tokoh ilmuan yang diangkat oleh masyarakat dengan gelaran Tuan Guru antaranya Tuan Guru Haji Abbas Besut, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, Tuan Guru Haji Salleh Musa dan lain-lain lagi. Boleh dilihat gelaran Tuan Guru ini menyamai gelaran-gelaran penghormatan akademik dalam tradisi keilmuan Barat seperti Doktor Kehormat, Professor Emiritus dan lain-lain.

Di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), gelaran Tuan Guru ini juga lazim digunakan. Selain daripada memiliki syarat-syarat seperti piawaian yang tidak sistematik diberikan oleh masyarakat, iaitu ketinggian ilmu dan sumbangannya dalam pengembangan ilmu, gelaran Tuan Guru di dalam PAS diberikan kepada pimpinan-pimpinan tertinggi parti yang tertentu seperti Mursyidul Am, Ahli Majis Syura Ulamak dan Presiden. Pada hari ini beberapa orang pimpinan PAS dipanggil dengan Tuan Guru seperti Tuan Guru Haji Hashim Jasin dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Menyedari pentingnya mewujudkan piawaian yang sistematik dalam memberi gelaran penghormatan Tuan Guru, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang dimiliki oleh Dewan Ulamak PAS Pusat, telah memperkenalkan anugerah ALIM HARAKI yang membawa gelaran Tuan Guru di dalam Konvokesyen KUIZM bermula sejak Konvokesyen ke-5 sebelum ini. Matlamat diwujudkan anugerah ini, sebagai nilai tambah kepada piawaian secara kolektif dan organik yang telah wujud dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia sebelum ini.

Di dalam Konvokesyen KUIZM yang ke-6 pada 18 Januari 2020 yang lalu, Dewan Ulamak PAS Pusat telah memilih Dato’ Dr Mahfodz Mohamed, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, untuk dianugerahkan dengan anugerah ALIM HARAKI atas sumbangan cemerlang beliau di dalam keilmuan Islam, sekaligus secara rasmi digelar dengan Tuan Guru. Berikut adalah biodata ringkas Dato’ Tuan Guru Dr Mahfodz Mohamed:

Dato’ Tuan Guru Dr Mahfodz Mohamed adalah ahli akademik dan ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Di peringkat parti, beliau merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Beliau juga merupakan AJK PAS Pusat dan bekas Pesuruhjaya PAS Johor. Beliau pernah bertanding atas tiket PAS di beberapa kerusi seperti kerusi Dewan Negeri Johor N0.9 Gambir, Johor.

Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda (Syariah) daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Glasgow United Kingdom. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah (pangkat sebelum bersara ialah Professor) di Universiti Malaya. Beliau adalah Pengerusi dan Pengetua, Maahad Tahfiz Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Muar, Johor, Presiden Institut Teknologi Ibnu Sina (INTIS), 2000-2001, Penasihat Akademik Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), 2001-2004, Ahli panel Lembaga Akreditasi Negara (LAN), 1998-2000, Naib Yang Di-Pertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), 1987-1999, Ahli lembaga penasihat syariah Amanah Saham Aiman (MARA), 1996-1999, Ahli lembaga pengawas syariah Takaful Nasional, 1994-1999, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, 1996-1999, Ketua Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1983-1993, Timbalan Pengarah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1996-1999 dan Panel Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1988-1996.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Rektor KUIZM

log kuizm

Log Masuk

Emel

log kuizmorg

Kalam Murabbi

pos kalammurabbi 01

Bayanul Ahkam

pos bayanulahkam 03

Coretan Duat

pos coretanduat 02

Mukabuku

TV KUIZM